PROGRAM RIANG RIA MERDEKA: PERTANDINGAN MEWARNA SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN
Aktiviti terkini | 5 Ogos 2023Tempat Aktiviti:
Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Klebang Besar
Nama VIP :
Tiada
Ringkasan Aktiviti:
Pada 5 Ogos 2023 bersamaan hari Sabtu, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Klebang Besar kolaborasi bersama Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Taman Seri Kemendor telah menganjurkan Program Riang Ria Merdeka iaitu pertandingan mewarna bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara yang ke-66 tahun. Pertandingan ini telah diadakan secara bersemuka bertempat di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Klebang Besar Melaka. Seramai 39 orang peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah telah menyertai pertandingan ini. Aktiviti berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang positif daripada para peserta. Terdapat juga beberapa orang ibubapa yang turut hadir memberi galakan kepada anak mereka yang menyertai pertandingan. Objektif utama penganjuran program adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan para peserta. Program ini juga adalah inisiatif untuk meraikan semangat kemerdekaan negara selain memupuk minat dan kreativiti para peserta dalam bidang seni. Turut hadir semasa pertandingan berlangsung Encik Hamzah Bin Ibrahim selaku Sidang Kampung Klebang Besar. Tuntasnya, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada para peserta untuk menunjukkan bakat mereka, tetapi secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi semangat cinta akan tanah air dan kesedaran nilai kemerdekaan yang kita nikmati. Semoga program seperti ini dapat terus diadakan untuk menghidupkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan memperingati jasa-jasa pahlawan negara.
Tujuan :
• Pertandingan mewarna sempena sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-66 tahun
• Memupuk semangat patriotisme dan cinta akan tanah air
• Mencungkil bakat para peserta dalam kemahiran seni visual
• Menggalakkan para peserta untuk terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan
Butir-Butir Berkaitan Dengan Aktiviti:
• Kehadiran para peserta di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Klebang Besar Melaka pada pukul 1.30 petang
• Program bermula pada pukul 2.00 petang dengan ucapan alu-aluan daripada pengurus cawangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Klebang Besar Melaka, Natasya Alia Binti A.Rumzi. Seterusnya, sesi suai kenal dan pengenalan diri dari para petugas PEDi yang terlibat bersama para peserta
• Agenda diteruskan dengan taklimat berkaitan peraturan pertandingan yang perlu dipatuhi oleh para peserta
• Para peserta dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori A dan kategori B. Bagi kategori A, para peserta ialah berumur 5 tahun hingga 9 tahun. Manakala kategori B pula ialah para peserta yang berumur 10 tahun hingga 13 tahun
• Pertandingan mewarna bermula pada pukul 2.30 petang dan tempoh masa yang diberikan kepada para peserta ialah selama 1 jam. Aktiviti berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang positif daripada para peserta. Terdapat juga ibubapa yang hadir memberi galakan kepada anak mereka yang menyertai pertandingan
• Seterusnya, pada pukul 3.30 petang program diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan bagi kategori A dan kategori B. Setiap kategori diberikan hadiah untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga
• Penyampaian hadiah dimulakan dengan pemenang bagi kategori A diikuti dengan pemenang kategori B. Hadiah telah disampaikan oleh Sidang Kampung Klebang Besar iaitu Encik Hamzah Bin Ibrahim
• Program berakhir pada pukul 4.00 petang dengan sesi rakaman video ucapan hari kemerdekaan dan sesi fotografi bersama para petugas PEDi, para peserta dan ibubapa yang hadir
Kelebihan Aktiviti :
• Menyerlahkan bakat dan kreativiti para peserta dalam bidang seni
• Membangkitkan rasa cinta terhadap tanah air dan menghargai nilai kemerdekaan
• Memberi peluang kepada para peserta untuk bergembira dan seronok dengan aktiviti yang dijalankan
• Mengeratkan hubungan silaturrahim antara petugas PEDi dan juga komuniti setempat
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti dijalankan :